WAYANG KULIT BUDAK

“Wayang Kulit Budak”

Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA (PuTRA) akan membawakan persembahan wayang kulit Kelantan yang akan menemui khalayak Kuala Lumpur pada 27 Okt 2017. Acara ini bersempena dengan program Gema Seni Tradisional yang telah dianjurkan oleh PuTRA sejak tahun 2015. Sebagaimana penganjuran yang lalu, melalui Gema Seni Tradisional, PuTRA telah mengangkat beberapa kesenian dan tokoh-tokohnya ke pentas Kuala Lumpur. Program bersifat apresiasi ini cuba mendekatkan khalayak kota khususnya generasi muda mengenal dan menghayati keindahan seni budaya warisan bangsa. Antara kesenian yang telah dibawakan ialah Makyung dari Pasir Mas, Wayang Kulit oleh dalang cina Eyo Hock Seng, Caklempong, Dikir Barat, Gamelan, Seni Bertabik (main puteri), Ghazal, Dondang Sayang , Keroncong dan terakhir ialah irama Melayu Asli.

Untuk persembahan wayang kulit Kelantan ini, ia bakal menampilkan seorang dalaang kanak-kanak yang berusia tujuh tahun iaitu Kamarul Baihaqi bin Kamarul Baisah. Penampilan adik Baihaqi sebagai dalang ini, merupakan tampilan sulung dalam sebuah persembahan wayang kulit dengan episod penuh dari Hikayat Rawana. Lebih istimewa, Baihaqi akan diringi oleh kumpulan pemuzik yang juga terdiri daripada kanak-kanak di bawah usia 15 tahun. Para pemuzik dibawa khas dari Kelantan. Kerana itulah persembahan ini diberi tajuk WAYANG KULIT BUDAK. Gabungan mereka ini bakal mencipta sejarah buat kesenian wayang kulit tanahair dan pastinya menjanjikan harapan positif dalam usaha melestarikan kesenian ini.

Persembahan ini akan dilangsungkan pada hari Jumaat, 27 Okt 2017 di Blackbox ASWARA pada jam 8.30 malam. Para penonton tidak dikenakan sebarang tiket tetapi terbuka untuk memberi sumbangan bagi pembiayaan aktiviti kesenian tradisional di bawah PuTRA.

Event Dates

Venue

Website

For Enquiries

Scroll To Top