SENSORii

Sensorium of Inversion/Immersion (SENSORii) adalah pameran seni media yang menampilkan karya seni artis multimedia Malaysia iaitu Lim Kok Yoong & KC Tan, Wee Jia Foong, FLUX 28 dan Ashly Nandong & Azarikh Amran, dengan iringan muzik yang digubah oleh Ahmad Muriz Che Rose.

Projek ini menjemput para seniman yang terpilih untuk meneroka idea untuk menterbalikkan persepsi sensorial, untuk mengenali kerumitan dunia dalaman/luaran yang kita lalui.

Dengan pendekatan teknologi digital dan media yang berbeza, seniman-seniman yang terlibat mempersembahkan karya yang cuba menjiwai dan mendalami dunia yang kita sedia kenal, melalui realiti fizikal dan persepsi yang kita alami dari penceritaan, imaginasi dan kenangan dalam lensa dan perspektif yang berbeza.

SENSORii mengungkapkan kisah di kota ini, kehidupan seharian dan konteks urbannya, tempat dan persekitaran yang didiami, ruang yang kita menghuni dan membenamkan diri, dengan teknik artistik dan kepelbagaian teknologi yang mengubah dan mencerminkan realiti untuk menilai kembali keberadaan ini.

Pameran ini dikendalikan oleh kurator tersohor tanah air, Yap Sau Bin, yang pernah mempamerkan karyanya Havana Biennale, Venice Biennale, ShenZhen & Hong Kong Bi-city Biennale of Urbanism & Architecture dan banyak lagi.

Manakala, bahagian teknikal diterajui oleh Melissa Teoh yang telah mengendalikan produksi seni di peringkat antarabangsa – termasuk muzikal, opera, drama, dan konsert di Asia Tenggara, Amerika Syarikat, Australia dan Eropah.

Dengan kerjasama seniman SENSORii, komponen muzik untuk SENSORii disusun oleh Ahmad Muriz Che Rose. Sebagai Pengarah, Pembangunan & Pengurusan Bakat Muzik, Dewan Filharmonik Petronas Malaysia, beliau telah mengendalikan banyak orkestra termasuk orkestra maya yang melibatkan 60 pemuzik dari 26 negara untuk sambutan Hari Kebangsaan ke-63 Malaysia, yang dihoskan oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia pada tahun 2020. Beliau juga merupakan ahli Panel Penasihat Industri CENDANA.

Fabu Design Sdn Bhd adalah unit teknikal artistik yang bertanggungjawab untuk teknik dan penyelesaian multimedia untuk SENSORii.

Pameran akan berlangsung sepanjang bulan Disember 2021 di RexKL. Projektor ditaja oleh Epson Malaysia Sdn Bhd.

Scroll To Top