



07. 02. 2003
NARATIF FILEM MELAYU BANGANG & MEMBANGANGKAN? by Faisal Tehrani
Di tengah kebangkitan semula filem-filem Indonesia, di mana mereka beralih semula kepada sastera atau sasterawan untuk bekerjasama menghasilkan narafatif filem, filem-filem Melayu semakin membodohkan diri dengan cerita merepek merapu.
Filem seperti Ca Bau Kan yang diadaptasi dari novel Remy Sylado di Indonesia menggegarkan. Begitu juga kembalinya semula generasi muda kepada sastera terlihat pada Ada Apa Dengan Cinta yang digilai juga oleh remaja kita. Remaja Indonesia memuja Chairil Anwar kerana filem ini, tetapi ada pelajar saya tidak kenal siapa dan apa karya Allahyarham Usman Awang. Atau siapa sebetulnya yang berjanggut panjang, A. Samad Said atau A. Samad Ismail atau mungkin A. Samad Idris? Filem erotik Jan Darra dari Thailand misalnya juga dibawa dari novel The Story of Jan Darra yang jika tidak silap saya ditulis oleh Utsana Phleungtham. Thailand dan Indonesia semakin menjarakkan diri dari kita.
Rujuklah Dewan Sastera November 2002, apabila Johan Jaafar mengeluh pembikin filem tempatan semakin melingkup malah naratif filem yang lemah (beliau mengambil kes Embun, saya sendiri pernah merungut betapa ‘bangang’nya naratif filem ini di beberapa sudut rujuk arkib kakiseni malah ia turut direspon oleh beberapa pengamal filem itu sendiri) menjadi hantu dalam industri filem ini. Saya petik sedikit tulisan bekas ketua pengarang Utusan dan dramatis besar tanahair ini:
‘Ini masalah besar filem tempatan. Pengarah mahu sekaligus menjadi penggambar sinema dan penulis lakon layarnya. Alangkah baik sekiranya karyawan tempatan menyedari bahawa filem dan naskah skrip filem sebenarnya dua soal yang berbeza.’
Johan kemudian menyenarai panjangkan beberapa karya sastera tempatan yang boleh difilemkan. Jika pembikin filem Melayu rasa menyampah sangat dengan karya A.Samad Said, Shahnon Ahmad, Noordin Hassan, Zaharah Nawawi dan Anwar Ridhwan, mereka boleh mengambil karya-karya pop setengah masak yang berlambakan di pasaran. Jika thriller yang menjadi pilihannya, novel-novel Ramlee Awang Murshid saya kira cukup menyeramkan.
Hollywood usah disebutlah betapa mereka menggunakan sepenuhnya fiksyen mereka yang ada untuk dibawa ke layar perak. Malah novel pop seperti Bridget Jones Diary sendiri boleh difilemkan. Tidak usahlah menceceh lebih banyak mengenai Lord of The Rings atau Harry Porter kerana karyawan kita tiada wang. Di Bollywood, khabarnya Aishwarya Rai bakal berlakon dalam sebuah filem didasari dari karya penyair ulung India dan pemenang Hadiah Nobel, Rabindranath Tagore. Mungkin cicit penyair ini, Saif Ali Khan akan ikut berlakon.
Naratif bangang semakin ketara jika kita menonton Gila-gila Pengantin. Saya tahu mereka tidak peduli dengan tulisan Johan Jaafar pun, buat duit lagi baik dari bertanggungjawab kepada penonton dan masyarakat tetapi tolonglah baiki aspek penceritaan. Ambil kira juga mutu produk filem anda supaya berbaloi dengan wang audiens. Penonton bayar sepuluh ringgit untuk menonton kerja seni anda. Seni perlu saya ingatkan adalah sesuatu yang murni bukan sampah, bukan nanah, bukan debu, bukan abu. Ia datang dari jiwa paling halus. Jiwa halus ialah jiwa yang cermat.
Menurut Graham Roberts dan Heather Wallis dalam Introducing Film, kajian naratif filem adalah kajian mengenai bagaimana cerita itu dipersembahkan. Ia bukan saja melibatkan lakonlayar tetapi apa yang dinamakan mise en scene, sinematografi, editing dan sound dan struktur cerita. Aspek-aspek ini memanglah ditangani ‘ambil dapat sahaja’.
Gila-gila Pengantin misalnya dilanda masalah yang saya kira cukup besar iaitu originaliti. Usahlah menafikan, filem ini adalah kitar semula filem You’ve Got Mail (karya Nora Ephron kalau tidak silap saya) dan ada sedikit unsur-unsur RunAway Bride lakonan Richard Gere dan Julia Roberts. Memang yang tulen cuma al-Quran, tetapi bahan kitar semula begini amat memalukan. Ia menunjukkan betapa sempitnya, betapa tidak luasnya dunia yang ada. Kreativiti seakan-akan berputaran begitu sahaja. Saya percaya pembikin filem kita bukanlah bangang sangat. Memang masuk universiti tidak menjamin pandainya seseorang pengamal filem tetapi jika benar-benar buntu untuk membuat cerita maka sila-silalah ikut saranan Johan Jaafar. Ini tidak, kita tetap mengitar semula filem Shallow Hal dan diberi nama baru dan diundang pula ratu filem kita untuk memegang watak utama. Takkanlah bangsa Malaysia kita yang hebat dengan slogan Malaysia Boleh dan sering ditangisi oleh Perdana Menteri kita ini begitu kecil jiwanya. Meminjam tidak sudah-sudah dan menumpang tidak sudah-sudah dari hasil kreativiti orang?
Kemudian ketidaktelitian pembikin filem sebetulnya menyumbang kepada kebangangan ini. Di dalam Gila-gila Pengantin ada banyak hal pula yang tidak ditelitikan. Saya pohon wang yang banyak itu janganlah dijadikan sesuatu yang cincai sahaja, buatlah filem yang logik. Saya kira kita sebagai penonton pun memang tidak meminta Titanic, Pearl Harbour, Hero, Devdas dari karyawan filem kita, cuma waras sedikit sahaja kalau mahu ‘bercerita’.
Hal-hal tidak teliti ini terserlah jelas. Ambil kira watak Aleya dan Johari di dalam Gila-gila Pengantin ketika berusia tujuh tahun, jika mereka berusia semuda itu, ini bermakna zaman kanak-kanak mereka di dekad awal 80 an. Takkanlah perlu diajar bagaimana reka baju dan pakaian di tahun 80 an, takkan juga perlu diajar bagaimana rupa dan semangat serta mekap dan dandanan rambut tahun 80 an?
Aleya juga menggunakan teksi di waktu malam hujan ribut sesuatu yang saya ketahui memang dielakkan oleh sebahagian besar wanita. Apatah lagi Aleya seorang gadis solo, kaya raya, ibu-bapa juga mewah lagaknya dan menginap seorang diri di sebuah rumah dua tingkat, memiliki lap top malangnya tidak memiliki kereta. Tolonglah bina watak dan perwatakan secara lebih khusus dan cermat.
Johari pula sebagai doktor gigi tidak meyakinkan penampilannya, pakaian dan gayanya tidak menampakkan wibawa seorang doktor gigi. Beliau seorang lelaki yang mempunyai penyakit lelah tetapi boleh pula berlarian mendaki bukit untuk menghalang perkahwinan Aleya dan Harun.
Setahu saya seorang pengarang fiksyen di negara ini tidak sampai boleh diterbitkan bukunya tanpa ditemui terlebih dahulu kecuali di Pustaka Wawasan dalam filem Gila-gila Pengantin. Penerbit juga belum pernah rasa saya ke rumah penulis tanpa menelefon terlebih dahulu dan memberi sekadar satu naskah cenderamata kepada penulis. Juga majlis autograf dan pelancaran buku kanak-kanak hanya dikerumuni oleh orang dewasa. Jangan beri alasan ia filem komedi. Filem romantik komedi sekalipun mestilah logik dan mengambil kira segala yang kecil-kecil ini kerana yang kecil-kecil beginilah menyumbang kepada kelemahan besar.
Berhentilah buat filem bangang dan membangangkan. Tolonglah menghormati penonton kita. Tolonglah menghormati seni itu sendiri kerana ia satu simbol, lambang dan khazanah peradaban kita. Kita tidak mewariskan produk seni bangang kepada generasi mendatang.
Sayang sekali filem Gila-gila Pengantin tidak teliti disiapkan dan tidak tulen pula, ia sebenarnya sudah cukup menghiburkan dengan Juliana Banos semakin meningkat dan penampilan cameo lebih menyelamatkan aspek lakonan watak-watak utama dan pembantunya.
Pembikin filem tempatan - bukan minta banyak. Minta logik biasa sahaja. Wang, wang juga tetapi minta bertanggungjawablah kepada kerja anda sendiri. Dengan sendiri nanti anda akan belajar bertanggungjawab pula kepada penonton dan masyarakat serta akhirnya bangsa dan negara.
User Comments
| No Comments |
Related Links




